ROMPIN. 27 Februari 2024 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin dengan kerjasama MUIP Cawangan Muadzam Shah telah menganjurkan Program Taklimat Pengurusan Zakat Negeri Pahang Peringkat Daerah Rompin bertempat di Villea Rompin Resort and Golf di Kampung Lanjut, Rompin, Pahang.

Program taklimat kali ini telah menyaksikan kehadiran peserta-peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dari pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta para Imam Masjid dari seluruh daerah Rompin serta Muadzam Shah.

Para peserta terlebih dahulu diberi taklimat berkenaan dengan Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Pahang oleh Pengurus Zon Timur Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Ustaz Felza Zulrraffaee Bin Abdul Hamid dalam slot pertama, sebelum diteruskan dengan slot kedua iaitu taklimat berkenaan dengan Pengurusan Agihan Zakat Negeri Pahang yang disampaikan oleh Pengurus MUIP Cawangan Daerah Kuantan, Ustaz Muhammad Khairuddin Bin Hussin dan diakhiri dengan majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Tuan Mohd Farek Bin Jamaludin, Qadhi Muadzam Shah.

Diharapkan dengan penganjuran program taklimat ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak MUIP serta PKZ bagi menyampaikan info-info berkenaan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi masing-masing ke peringkat akar umbi merentasi jabatan mahupun penempatan-penempatan penduduk di seluruh daerah Rompin serta Muadzam Shah.