Muqadimmah Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat yang wajib ke atas lelaki dan perempuan muslim, tua dan muda untuk dirinya, keluarga dan orang lain yang menjadi tanggungannya berdasarkan syarat yang telah ditetapkan oleh syara’. Antara syaratnya ialah:
I. Individu merupakan seorang muslim.
II. Hidup sehingga terbenam matahari akhir Ramadhan atau meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
** Bayi yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadhan atau meninggal dunia sebelum terbenam matahari akhir Ramadhan tidak wajib zakat fitrah.
III. Memiliki harta lebih untuk dirinya sendiri dan keluarganya pada hari raya dan malamnya.

Kewajipan berzakat telah dinyatakan di dalam surah al-Baqarah ayat 110 yang bermaksud: “dan dirikanlah solat serta keluarkanlah zakat.” Serta dalil daripada surah Ibrahim ayat 31 yang bermaksud: “hendaklah mereka mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka”. Berdasarkan dalil tersebut dapat disimpulkan bahawa mengeluarkan zakat sama ada zakat harta atau zakat fitrah adalah kewajipan yang telah ditetapkan kepada seluruh umat Islam dan kita dilarang untuk mengingkarinya apabila mencukupi syarat wajib.
Adapun waktu mengeluarkan zakat fitrah adalah seperti berikut:
I. Waktu harus: iaitu bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
II. Waktu wajib: iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
III. Waktu afdhal: iaitu selepas solat subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan solat sunat Aidil Fitri.
IV. Waktu makruh: iaitu selepas solat sunat Aidil Fitri sehingga terbenam matahari.
V. Waktu haram: iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Penerima Zakat telah ditetapkan kepada 8 golongan asnaf (fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah, ibnu sabil). Namun ulama mengutamakan penerima zakat fitrah adalah asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf.

Hikmah mengapa Allah mensyariatkan zakat adalah supaya hamba-hambaNya dapat menyucikan harta daripada hak orang lain dan diri daripada sifat bakhil dan menjadi hambaNya yang bersyukur terhadap nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka serta dapat berkongsi kegembiraan bersama golongan fakir miskin.

Umat Islam di negeri Pahang boleh membayar Zakat Fitrah melalui amil-amil yang telah dilantik oleh Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang berdasarkan Seksyen 84 dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991. Selain itu juga, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang telah menyediakan perkhidmatan alternatif bagi pembayaran Zakat Fitrah iaitu secara atas talian dengan menggunakan FPX dan pembayaran tersebut akan terus ke AKAUN BANK MAJLIS UGAMA ISLAM & ADAT RESAM MELAYU PAHANG.

Pengguna boleh klik pautan dibawah untuk memulakan pembayaran.

Zakat Fitrah Atas Talian