KUANTAN. 24 Jun 2017 bersamaan 28 Ramadan 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diiringi bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan di Masjid Tengku Ampuan Afzan, di sini semalam.

Turut mengiringi, Paduka kekanda dan adinda baginda, YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan isteri, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam, YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Hajjah Tengku Dato’ Muhaini, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Hajjah Dato’ Aishah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Dato’ Hajjah Shahariah. Majlis pada petang semalam itu, merupakan penutup majlis di bulan Ramadan pada tahun ini yang dihadiri baginda.

KDYMM Pemangku Raja Pahang telah berangkat di beberapa daerah bermula di Temerloh pada 6 Ramadan. Keberangkatan baginda yang turut diiringi kaum kerabat menunjukkan keprihatinan keluarga diraja terhadap rakyat jelata serta dapat menceriakan mereka dengan pengurniaan bantuan. Pada majlis semalam, 200 orang asnaf telah menerima kurniaan sumbangan berupa hamper kuih muih raya dan wang tunai daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan kurniaan peribadi KDYMM Pemangku Raja sendiri menerusi Yayasan Istana Abdulaziz. Pengurniaan sumbangan disempurnakan oleh KDYTM Tengku Puan dan paduka kanda dan adinda KDYMM Pemangku Raja.

Selain menerima sumbangan, golongan asnaf turut mendapat layanan istimewa kerabat diraja Pahang ketika berbuka puasa apabila mereka disenduk lauk-pauk semasa menikmati hidangan berbuka puasa. Selepas berbuka puasa, KDYMM Pemangku Raja bersama-sama tetamu kemudiannya menunaikan solat Maghrib dan bertahlil Hari Hol sebelum berjemaah menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih. Turut hadir, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, YAM Kerabat-kerabat, YB Exco-Exco, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Ketua-Ketua Jabatan serta pemimpin-pemimpin setempat.