MUADZAM SHAH. 27 Februari 2024 – MUADZAM SHAH, 27 Februari 2024 – Program Taklimat Agihan Zakat bagi tahun 2024M/1445H telah diadakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah bersama MUIP Cawangan Rompin dengan kerjasama Pejabat Daerah Rompin, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Muadzam Shah dan PAID Rompin.
Program taklimat yang berlangsung di Dewan Villea Rompin Resort & golf ini telah dihadiri oleh Ketua-ketua jabatan, Pegawai Masjid dari kalangan Imam dan Ketua kampung. Sesi taklimat pengurusan kutipan zakat telah disampaikan oleh Pengurus Zon Timur, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Negeri Pahang, Ustaz Felza Zulraffaee bin Abd. Hamid. Manakala untuk sesi taklimat pengurusan agihannya pula telah dibentangkan oleh Pengurus Cawangan Daerah, MUIP Cawangan Kuantan, Ustaz Muhammad Khairuddin bin Husin.
Para jemputan telah didedahkan bahawa menunaikan zakat sangat mustahak dalam usaha membantu 8 golongan asnaf sebagaimana yang telah termaktub dalam surah At-taubah ayat 60. Berbagai soalan telah diajukan kepada penceramah dalam sesi soal jawab, antaranya bagaimana kaedah bantuan Dapur Zakat dan cara permohonan bantuan Agihan Zakat Awal Persekolahan.
Terima kasih diucapkan kepada semua jemputan yang hadir dan yang telah membantu menjayakan program sebegini, khususnya Al-Fadhil Qadhi Daerah Muadzam Shah, Ustaz Mohd Farik bin Jamaluddin selaku perasmi yang sudi menyampaikan amanat berkaitan zakat kepada semua.
Sesungguhnya dengan berzakat, kita dapat menyucikan harta kita dan dalam masa yang sama ia dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan. Semoga kita semua beroleh rahmat dari Allah atas keprihatinan kita membantu masyarakat setempat dengan adanya zakat ini dan inilah bukti kita semua mengambil berat dengan tidak membiarkan mereka kesedihan tanpa dibantu.