ROMPIN. 07 Februari 2024 – Pihak MUIP telah menyerahkan sumbangan peralatan-perlatan perubatan berupa beberapa buah mesin untuk kegunaan pesakit kepada Hospital Rompin serta Klinik Kesihatan Teluk Gading.

Dalam majlis penyerahan ringkas yang diadakan di kedua-dua premis kesihatan berkenaan, pihak MUIP telah menyerahkan sumbangan berupa sebuah Mesin Ultrasound Portable, sebuah Mesin Video Laryngoscope serta dua buah Mesin Electrocardiogram (ECG) yang bernilai RM 117,000.00 kepada Hospital Rompin, manakala Klinik Kesihatan Teluk Gading pula menerima sebuah Mesin ECG yang bernilai RM 11,000.00, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang diserahkan bernilai RM 128,000.00.

Penyerahan sumbangan peralatan-peralatan berkenaan telah dilakukan oleh Ustaz Muhammad Nabil Bin Mohamad Fauzi, Pengurus MUIP Cawangan Daerah Rompin yang mewakili pihak MUIP diiringi kakitangan dari Bahagian Agihan Zakat Ibu Pejabat MUIP, kepada Doktor Nordiana Binti Amiruddin, Pengarah Hospital Rompin serta Encik Rosli Bin Ismail yang mewakili Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Teluk Gading.

Semoga dengan penyerahan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk memperkasakan dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan Hospital dan Klinik berkenaan di daerah ini disamping memberikan manfaat buat penduduk setempat yang mendapatkan rawatan di kedua-dua premis berkenaan, terutamanya pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dari kalangan asnaf fakir dan juga miskin.