ROMPIN. 07 Februari 2024 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah berganding bahu bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin dan PAID Muadzam Shah serta Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menyantuni sekitar 32 buah keluarga di Kampung Orang Asli (KOA) Pinang.

Dari 32 buah keluarga yang disantuni dalam program berkenaan, hanya sebuah keluarga sahaja yang terlibat beragama Islam manakala baki 31 keluarga lagi merupakan keluarga bukan Islam.

Antara pengisian yang diadakan dalam program berkenaan adalah sesi ziarah ramah mesra dari rumah ke rumah setiap keluarga yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda perkampungan itu pada sekitar pertengahan bulan Januari yang lalu, disamping menyampaikan buah tangan berupa barangan asas kepada keluarga – keluarga berkenaan.

Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini sedikit sebanyak dapat menunjukkan keindahan Islam kepada golongan bukan Islam di perkampungan berkenaan disamping mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung berkenaan dengan agensi-agensi yang terlibat.