MUADZAM SHAH. 10 Januari 2024 – MUADZAM SHAH, 10 Januari 2024 – Satu kejadian kebakaran telah berlaku awal pagi tadi sekitar jam 4.00 pagi di Desa Jati 02, Muadzam Shah.
Pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah tampil segera pagi ini juga bagi menyampaikan agihan zakat berupa wang tunai RM1,000.00 dan set barangan keperluan makanan asasi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran iaitu Puan Rohayah.
Ketika kejadian berlaku, ramai jiran mangsa hadir membantu memadamkan api yang agak marak sementara menunggu ketibaan pihak Bomba. Mereka juga turut memberikan kata-kata semangat kepada mangsa yang tidak menyangka kejadian sebegini berlaku ketika beliau berseorangan dirumah.
Mangsa tidak henti-henti bersyukur kerana berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah meskipun pergerakannya sedikit terbatas atas faktor usia dan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MUIP kerana hadir bagi menghulurkan sumbangan zakat.
Syukurlah jiran-jiran yang tinggal berhampiran rumah mangsa dilihat sangat prihatin dengan mempelawa mangsa tumpang berteduh untuk sementara waktu di kediaman mereka sementara tempoh membaiki pendawaian elektrik. Sebelum pulang, pihak MUIP turut mendoakan mangsa supaya kuat semangat dan tabah menghadapi musibah sebegini.