ROMPIN. 25 Julai 2023 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah mengadakan sebuah Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti bertempat di Kampung Leban Chondong, yang terletak di dalam Mukim Rompin, Daerah Rompin.

Program secara berkala ini diadakan bertujuan untuk menjejaki golongan asnaf yang berkelayakan di kampung-kampung dan penempatan-penempatan penduduk di sekitar Daerah Rompin serta melihat bentuk-bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan bebanan hidup mereka.

Sekitar 45 buah keluarga dari kampung-kampung dan kawasan perumahan yang bernaung di bawah pentadbiran JPKK Leban Chondong iaitu Kampung Leban Chondong, Kampung Sabak, serta Taman Menchali Indah telah disantuni dalam program ini. Turut serta menjayakan program ini adalah kakitangan dari MUIP Cawangan Muadzam Shah serta urusetia-urusetia dari JPKK kampung berkenaan .

Penganjuran program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengenalpasti asnaf yang berkelayakan dari seluruh daerah Rompin seterusnya mengelakkan golongan berkenaan dari tercicir menerima bantuan zakat.