MUADZAM SHAH. 22 Jun 2023 – MUADZAM SHAH, 22 Jun 2023 – Program Taklimat Dapur Zakat bagi tahun 1444H/2023M dengan tema Ikhlas memberi, jujur menerima telah diadakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Muadzam Shah.
Program taklimat yang berlangsung di Dewan JKKR Felda Keratong 09 ini telah dihadiri oleh Ahli Jawatan Kuasa masjid dari kalangan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari dan Setiausaha. Turut hadir bersama sepanjang program ini adalah Al-Fadhil Qadhi Daerah, Penghulu Mukim Keratong I dan juga Penghulu Mukim Keratong II.
Tujuan program ini diadakan adalah bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada pihak masjid untuk memanfaatkan sepenuhnya Dapur Zakat yang telah mereka wujudkan sebelum ini. Mereka juga diberi makluman mengenai cara permohonan barang bagi menjayakan Dapur Zakat itu nanti.
Sesungguhnya dengan adanya Dapur Zakat di setiap masjid nanti, ia mampu membantu golongan yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan keperluan harian secara percuma, antaranya bekalan makanan, lampin pakai buang, ataupun susu tepung. Peluang mendapatkan keperluan asas secara percuma sebegini tidak harus dilepaskan, dalam masa yang sama pihak masjid juga dapat memainkan peranan membantu ahli kariah mereka sendiri.
Semoga kita semua beroleh rahmat dari Allah atas keprihatinan kita membantu masyarakat setempat dengan adanya program Dapur Zakat ini dan inilah bukti kita semua mengambil berat dengan tidak membiarkan mereka kelaparan tanpa dibantu.