KUALA LIPIS. 14 Julai 2022 – Saudara Shamsuddin, 59 tahun yang merupakan siak di Masjid Kampung Berchang menetap di rumah pusaka arwah bapanya hampir 10 tahun yang agak usang dan uzur.
Beliau yang tinggal bersama isteri terpaksa menetap di rumah tersebut memandangkan hanya itu sahaja harta peninggalan arwah bapanya dan mereka berdua tidak berkemampuan membaiki rumah tersebut.
Pihak Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) cawangan Lipis hadir menziarahi saudara Shamsuddin bagi melihat sendiri keadaan rumahnya dan memang diakui rumah beliau uzur dan tidak selamat untuk diduduki.
Pihak MUIP akan cuba membantu dan mengesyorkan bantuan yang selayaknya kepada beliau memandangkan beliau boleh dikategorikan asnaf dan diakui oleh ketua kampung Kampung Berchang sendiri tentang kedhaifannya.