MUADZAM SHAH. 20 Julai 2022 – MUADZAM SHAH, 20 Julai 2022 – Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada pihak Pengurus Felda Selancar 2 dan pihak Masjid Al-Muhajirin atas kerjasama yang amat luar biasa dalam program Cakna Asnaf bersama pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah.
Turut membantu MUIP Cawangan Muadzam Shah pada kali ini adalah Pengurus Cawangan Daerah Jengka, Ustaz Nik Ahmad Tarmizi beserta dua orang kakitangannya dan dua orang kakitangan MUIP Cawangan Daerah Bera. Bagi memberikan perkhidmatan terbaik dalam pengagihan zakat, MUIP tidak hanya menunggu borang permohonan zakat di pejabat semata-mata. Malahan, pihak MUIP akan turun padang menziarahi asnaf dan melihat sendiri keadaan rumah mereka yang berkemungkinan memerlukan penyenggaraan yang sewajarnya.
Hari ini, sekurang-kurangnya 50 buah rumah dikunjungi MUIP di kawasan Felda Selancar 2. Kesemua rumah yang diziarahi ini diberikan set barangan keperluan memasak sebagai bantuan awal sebelum bantuan zakat yang lain diberikan kepada mereka yang berada di dalam golongan asnaf setelah dinilai had kifayah masing-masing kelak.
Semoga semua pihak yang sama-sama membantu dalam menjayakan program Cakna Asnaf ini beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah S.W.T., juga terima kasih diucapkan kepada semua pembayar zakat Negeri Pahang. Sesungguhnya harta zakat sangat banyak manfaatnya dalam membela nasib insan yang memerlukan.