ROMPIN. 10 Julai 2022 – Terima kasih MUIP anjurkan Program Solat Sunat Hari Raya Aidiladha untuk kami, inilah ucapan dari saudara-saudara baharu yang hadir pada Program Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Bersama Saudara Baharu Daerah Rompin bagi tahun 2022M / 1443H yang diadakan pada 10/7/2022 bersamaan 10 Zulhijjah 1443H di Surau Kampung Orang Asli (KOA) Jemeras, Rompin.

Program anjuran Majilis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin ini turut mendapat kerjasama dari Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima) Daerah Rompin, Perkim Daerah Rompin, badan NGO MRJ Chanel Dakwah, serta Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin.

Rata-rata jemaah yang hadir pada program kali ini adalah terdiri daripada Saudara Baharu dari KOA Petoh, KOA Tanam, KOA Kerpal, KOA Jemeri, KOA Jemeras, KOA Gading serta KOA Batu 3.

Program bermula dengan Takbir Raya seterusnya Solat Sunat Aidiladha dan Khutbah Aidiladha yang dipimpin dan disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Yunus Bin Mohamad, Guru Briged Dakwah MUIP KOA Tanam, disusuli dengan jamuan makan dan sesi beramah mesra bersama Saudara Baharu.

Melengkapkan penganjuran program kali ini, acara menyembelih lembu korban daripada jemaah Masjid Kampung Bangkong dan pengagihan daging korban kepada saudara-saudara baharu yang hadir pada program ini turut diadakan.

Semoga penganjuran program kali ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi penghayatan kepada saudara baharu tentang hikmah disebalik perayaan Hari Raya Aidiladha disamping merapatkan ukhuwwah dan silaturrahim dengan golongan saudara baharu di daerah ini serta agensi dan badan-badan yang terlibat.