MUADZAM SHAH. 06 Julai 2022 – MUADZAM SHAH, 06 JULAI 2022 – Seorang pesakit yang kebetulan bersua dengan seorang kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah ketika menjalani rawatan di klinik, diberi perhatian oleh pihak MUIP.
Setelah beliau pulang dari rawatan, pihak MUIP segera ke tempat tinggalnya di Bandar Satelit, Muadzam Shah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tahap kesihatan dan keperluan hariannya. Pada masa ini, beliau hanya mampu berbaring sahaja bagi memastikan luka segera sembuh. Untuk ke bilik air pula, beliau memerlukan tongkat dan kerusi roda.
Memandangkan beliau tidak mampu bekerja selepas pembedahan di pergelangan kakinya, pihak MUIP mengagihkan zakat berupa wang tunai dan baucer pembelian barangan secara bulanan selain memberikan sebuah katil pesakit tiga fungsi beserta tilam kalis air bagi kemudahan beliau meneruskan kehidupan seharian.
Turut hadir bersama ketika serahan katil tiga fungsi ini adalah Imam Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit iaitu Ustaz Azizul Hakim, beliau juga merupakan Amil Zakat Fitrah kariah tersebut.
Alhamdulillah, pesakit yang bernama Encik Jumri ini sentiasa menjaga solat 5 waktu meskipun sedang menahan kesakitan. Pihak MUIP mendoakan agar disegerakan kesembuhan beliau dan dimudahkan segala urusannya selama menjalani ujian kesakitan seperti ini.