ROMPIN. 30 Jun 2022 – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah ungkapan yang sesuai diungkapkan buat keluarga Encik Ab Aziz Bin Yasin, 55 dari Kampung Selendang apabila anak keduanya Encik Fadlyrizal Bin Ab Aziz, 24 ditimpa kemalangan dan mengalami kecederaan parah di bahagian otak, sewaktu pulang dari tempat kerja.

Rentetan kejadian itu, anak sulung Encik Ab Aziz terpaksa berhenti kerja bagi menjaga adik beliau secara sepenuh masa, manakala isteri beliau juga tidak dapat bekerja kerana menguruskan tiga lagi anak yang sedang bersekolah dengan salah seorang dari mereka berada dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan turut memerlukan perhatian penuh.

Bebanan sara hidup Encik Ab Aziz yang hanya bekerja sebagai Buruh Ladang menjadi semakin tinggi terutama perbelanjaan membabitkan keperluan anak keduanya sahaja mencecah RM 1,000 setiap bulan, tidak termasuk perbelanjaan bagi menanggung isteri, anak sulung beliau, serta tiga orang anak yang masih bersekolah.

Tampil membantu, pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyalurkan bantuan peralatan perubatan berupa sebuah Katil Hospital Tiga Fungsi, Sebuah Tilam Angin, sebuah Kerusi Roda, serta sebuah Mesin Penyedut Kahak yang bernilai RM 4850 secara keseluruhannya bagi memenuhi keperluan perubatan untuk anak kedua Encik Ab Aziz yang kini terlantar akibat kemalangan jalanraya yang dialami.

Pihak MUIP juga turut meluluskan bantuan bulanan kepada Encik Ab Aziz bagi membantu meringankan bebanan sara hidup yang ditanggung oleh beliau sekeluarga. Semoga Allah S.W.T mengurniakan kesabaran buat Encik Ab Aziz sekeluarga serta menggantikan ujian yang menimpa mereka dengan nikmat yang lebih baik.