ROMPIN. 30 Jun 2022 – Seorang warga emas dari Kampung Setajam, Encik Mohd Hussain Bin Ali, 66 mengalami penyakit Jantung Kronik dan tidak lagi mampu untuk bekerja sebagaimana sebelum ini.

Beliau kini terpaksa berehat sepenuhnya di rumah akibat penyakit kronik yang dialami, dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isterinya yang berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan beliau, isteri, serta dua orang anak yang masih bersekolah di peringkat menengah.

Selain itu, Encik Mohd Hussain juga perlu menanggung perbelanjaan sewa rumah serta kos sewa kereta bagi membolehkan beliau untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan secara berkala di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Beliau perlu menyewa kereta bagi tujuan rawatan dan pemeriksaan kesihatan berkala di HTAA Kuantan memandangkan keluarga beliau hanya memiliki sebuah motorsikal sahaja untuk digunakan bagi mencari rezeki serta menguruskan urusan kehidupan seharian keluarga.

Prihatin dengan ujian yang menimpa Encik Mohd Hussain dan keluarga , pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah meluluskan bantuan bulanan kepada beliau bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh beliau.

Semoga dengan bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh Encik Mohd Hussain sekeluarga.