ROMPIN. 30 Jun 2022 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin terus komited menyantuni Masyarakat Orang Asli di daerah ini dengan menganjurkan Program Ziarah Ramah Mesra dan Tarbiah Muallaf di Kampung Orang Asli (KOA) Batu 3.

Sebanyak 180 buah keluarga yang mendiami perkampungan berkenaan termasuk keluarga Orang Asli yang beragama Islam telah disantuni dalam program berkenaan.

Antara pengisian yang diadakan dalam program berkenaan adalah ziarah ramah mesra dan dakwah santai dari rumah ke rumah, sukaneka kanak-kanak, cabutan bertuah, perlawanan persahabatan futsal antara penduduk kampung menentang urusetia program, serta slot Tarbiah Muallaf khusus kepada penduduk beragama Islam di KOA berkenaan yang dikelolakan oleh Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin.

Program ini juga turut disertai oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Daerah Rompin, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) JAKIM Daerah Rompin, Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin, Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PEPIMA) Daerah Rompin, PERKIM Daerah Rompin, serta sukarelawan-sukarelawan dakwah dari beberapa NGO di Daerah Rompin.

Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin serta agensi-agensi dan NGO yang terlibat dengan penduduk Islam di KOA ini khususnya, serta keseluruhan penduduk di KOA ini amnya.