MUADZAM SHAH. 24 Mac 2022 – MUADZAM SHAH, 24 Mac 2022 – Seorang pesakit yang terlantar di rumahnya di Kota Bahagia, Muadzam Shah mendapat perhatian pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), apabila menerima sumbangan katil boleh laras, tilam, dan tongkat.

Pihak MUIP Cawangan Muadzam Shah telah hadir menziarahi beliau petang tadi untuk melihat keperluan yang mustahak dan apa yang boleh dibantu melalui sumber zakat. Rentetan dari itu, setelah mendapatkan kata putus dan kelulusan, pihak MUIP segera menghubungi pembekal. Dan pada malamnya juga barangan (katil, tilam dan tongkat) itu dihantar terus ke rumah penerima.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi, adalah bagaikan satu tubuh. Jika salah satu bahagian tubuh merasakan sakit, maka seluruh bahagian tubuh yang lain juga ikut merasakan sakit dengan tidak dapat tidur dan mengalami demam.

Turut bersama pihak MUIP ketika sesi serahan adalah Ketua Kampung dan pihak pembekal. Terima kasih kepada semua yang sama-sama membantu pihak MUIP bermula dari sesi ziarah sehinggalah serahan bantuan ini.