ROMPIN. 18 November 2021 – Baru sahaja hendak kembali memulakan perusahaan jahitan kecil-kecilannya setelah sebelumnya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang terpaksa dilaksanakan demi mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negara, diuji pula dengan mesin jahit rosak. Begitulah ujian yang dihadapi oleh Puan Rohani Binti Kasim, seorang Ibu tunggal dari Kampung Kuala Rompin. Perniagaan jahitan kecil-kecilan inilah yang merupakan sumber pendapatan utama bagi beliau untuk menyara diri serta dua orang anak yang masih belajar dan tinggal bersamanya. Tampil membantu, pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin menghulurkan bantuan berupa sebuah Mesin Jahit Tepi Industri bernilai RM 1900 bagi membolehkan perusahaan jahitan beliau kembali seperti sediakala. Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh asnaf berkenaan untuk menjana dan meningkatkan pendapatan demi untuk memenuhi keperluan diri serta anak-anak di bawah tanggungannya.