ROMPIN. 20 Oktober 2021 – Sebanyak 260 set hamper barangan makanan keperluan asas harian telah diagihkan kepada 260 buah keluarga Saudara Baharu di 14 buah perkampungan Orang Asli (KOA) di seluruh Daerah Rompin. Antara KOA yang terlibat dalam program agihan berkenaan adalah KOA Denai, KOA Bukit Lepas, KOA Batu Lapan, KOA Bukit Serdang, KOA Kemendol, KOA Batu Tiga, KOA Sembayan, KOA Kerpal Dan Pinang, KOA Jemeri, KOA Jemeras, KOA Belangkap, KOA Tanam, KOA Petoh, dan KOA Sungai Mok. Disamping mengagihkan bantuan makanan keperluan asas harian kepada kesemua keluarga saudara baharu Orang Asli di kesemua perkampungan berkenaan, pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin juga turut berkesempatan untuk bertanya khabar dan perkembangan semasa golongan saudara baharu di seluruh perkampungan-perkampungan yang terlibat dalam program agihan berkenaan. Program ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin serta Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Daerah Rompin. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada mereka dalam mendepani cabaran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia ketika ini, disamping mengeratkan lagi jalinan persaudaraan dan silaturrahim antara mereka dan MUIP serta agensi-agensi yang terlibat khususnya serta Masyarakat Islam di Daerah Rompin amnya.