ROMPIN. 20 Oktober 2021 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta rangkaian Pasaraya Darul Makmur (PDM) yang dimiliki sepenuhnya oleh MUIP terus komited membantu golongan yang terjejas dan memerlukan akibat Pandemik Covid-19 yang melanda negara mahupun seluruh dunia ketika ini. Terbaru, pihak MUIP dengan kerjasama PDM telah mengagihkan sebanyak 750 set hamper makanan asas harian kepada 750 buah keluarga di seluruh Pulau Tioman serta 100 set hamper makanan asas kepada 4 buah Masjid Kariah di seluruh pulau berkenaan iaitu Masjid Jamek Kampung Tekek, Masjid Kampung Juara, Masjid Kampung Genting, serta Masjid Kampung Mukut bagi tujuan kegunaan Program Dapur Zakat di sana, menjadikan jumlah keseluruhan hamper makanan asas harian yang diagihkan sebanyak 850 set. Penduduk di Pulau Tioman masih lagi terjejas setelah sektor pelancongan yang merupakan sumber pendapatan utama bagi mereka terpaksa dihentikan selama dua tahun sebelum ini demi untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di pulau berkenaan, dan hanya kembali dibuka bermula pada bulan Oktober tahun ini. Semoga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk di pulau berkenaan yang baru sahaja berada dalam fasa untuk memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan mereka yang telah terjejas sebelum ini.