PEKAN. 14 Ogos 2019 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dengan kerjasama Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah (JAKOA) Pekan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Pekan, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Daerah Pekan dan Guru Briged Dakwah Daerah Pekan telah melaksanakan Program Penghayatan Korban Di Kampung Orang Asli (KOA) RPS Runchang. Program bermula dengan Ceramah Agama oleh Penolong Penyelaras Penggerak Masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Negeri Pahang dan seterusnya diikuti dengan perlaksanaan Ibadah Korban serta agihan daging korban. Sebanyak dua ekor lembu telah dikorbankan dalam program yang diadakan iaitu seekor sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan seekor lagi daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Pekan. Program diadakan sebagai pendedahan kepada masyakarat orang asli Islam mengenai pensyariatan Ibadah Korban dan juga sebagai pendekatan dakwah kepada mereka yang masih belum menganut Agama Islam. Program ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai matlamat yang ditetapkan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.