CAMERON HIGHLANDS. 09 Ogos 2019 – bersamaan 8 Zulhijjah 1440H. Majlis Kesyukuran dan Pelaksanaan Solat Jumaat Pertama di Perkampungan Orang Asli Leryar, Pos Menson Cameron Highlands. Kampung Orang Asli Leryar mempunyai 200 Orang penduduk yang terdiri daripada suku kaum semai. Ia juga merupakan pelaksanan Solat Jumaat Kedua dalam Pos Menson. Penduduk kampung ini 90% beragama Islam. “Menurut Rahmat bin Murad yang merupakan salah seorang penduduk Kampung Orang Asli tersebut berasa teruja kerana Surau di Kampung mereka telah mendapat Kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk didirikan solat Jumaat pertama hari ini. Menurutnya juga, mereka sangat bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat dan juga gembira kerana jarak dekat memudahkan mereka untuk mendirikan solat Jumaat. Beliau juga berasa bangga kerana sebuah lagi surau dalam pos Menson daerah Ini dapat digunakan untuk penduduk melaksanakan solat Jumaat. Program ini telah dirasmikan oleh yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Dalam ucapannya, beliau menyatakan agar saudara-saudara muslim dapat memanfaatkan sebaik mungkin surau ini supaya dapat dijadikan tempat menunut ilmu fardu ain selain solat lima waktu. Beliau juga menyatakan setakat hari ini terdapat lapan (8) buah surau termasuk Kampung Leryar telah mendapat kebenaran Jumaat Di dalam Negeri Pahang. “Kita dalam usaha untuk mengenal pasti kampung-kampung yang berpotensi untuk di berikan kebenaran Jumaat antaranya Kampung Orang Asli, Pos Senderut dan Pos Betau Lipis. Beliau juga menyatakan pada bulan depan sebuah lagi surau akan dapat digunakan untuk mendirikan solat Jumaat iaitu Kampung Orang Asli Buluh Nipis, Muadzam Shah”. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang, Wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang, Pegawai Zakat Kanan, MUIP dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Dakwah dan Muallaf. Sekalung penghargaan kepada semua agensi yang terlibat iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang Cawangan Cameron Highlands, Jabatan Agama Islam Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli (JAKOA), Penggerak-Penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pembantu-Pembantu Penggerak Masyarakat Orang Asli dan Jawatankuasa Kampung Orang Asli Leryar. Semoga jasa dan khidmat bakti kalian secara langsung atau tidak langsung mendapat balasan baik di sisi Allah SWT. Ameen