KUANTAN 13 Disember 2018 Bersamaan 5 Rabiul Akhir 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang,  Tunku Hajah Azizah Aminah Mainunah Iskandariah bercemar duli berangkat menemui mangsa banjir di Pusat Perpindahan Sementara (PPS), di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, dekat sini, hari ini. Baginda berangkat tiba di PPS SK Cherating yang menempatkan 52 orang penduduk daripada 11 keluarga, dari Kampung Baharu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari. Mangsa dipindahkan seawal pukul 7.00 pagi berikutan hujan lebat yang berterusan melanda daerah ini, sejak awal malam semalam.Tuanku Azizah ketika ditemui wartawan bertitah, keberangkatan baginda mewakili suami, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Menurut Tunku Azizah, Pemangku Raja Pahang ketika ini berada di Vietnam atas urusan rasmi.

“Baginda meminta saya supaya turun padang melawat mangsa banjir terbabit dan turut berpesan supaya mengingatkan kepada semua terutama kanak-kanak supaya menjaga keselamatan pada musim tengkujuh… tidak bermain air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Menurut Tunku Azizah, Pemangku Raja akan turun padang menemui mangsa banjir selepas kembali ke tanah air.

“Pada hari ini, saya akan bergerak melihat keadaan semasa banjir dan seperti biasa akan membantu mangsa dengan menyediakan makanan yang saya masak sendiri di pusat pemindahan.

“Semua pihak kena bersiap sedia, penduduk tinggal di kawasan berisiko banjir harus bersedia…jangan tunggu air semakin meningkat baru hendak berpindah. Saya berdoa supaya banjir kali ini tidak buruk dan semuanya baik-baik sahaja,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi Pemangku Raja dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada semua keluarga terlibat.