BENTONG. 21 Mei 2018 bersamaan 5 Ramadan 1439H – Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan diadakan bertempat di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, Kampung Janda Baik. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat di majlis berkenaan dengan diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Seramai 189 orang menerima kurniaan wang tunai berserta hamper keseluruhannya berjumlah RM50,085.00 yang disempurnakan pengurniaannya oleh baginda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Kurniaan sumbangan bagi menampung perbelanjaan mereka di bulan Ramadan dan persiapan meraikan sambutan bulan Syawal. 180 orang kanak-kanak juga turut menerima kurniaan dari baginda sebagai meraikan kehadiran mereka di majlis berkenaan.