PEKAN. 04 April 2018 – bersamaan 17 Rejab 1439H. Majlis penyerahan sumbangan kepada peserta tajaan umrah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bagi Tahun 2018 telah diadakan di Dewan Syarahan Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. Program tajaan umrah ini merupakan tahun kelapan menaja peserta yang terdiri daripada pendakwah-pendakwah di kalangan orang asli yang bergiat aktif dalam melaksanakan kerja dakwah di negeri Pahang. MUIP telah menaja pendakwah daripada kalangan orang Melayu yang turut sama menyumbang khidmat mereka dalam setiap program dakwah di negeri ini. Pada kali ini, MUIP telah menaja seramai 6 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pembantu penggerak masyarakat Orang Asli, penggerak Masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuam Islam Malaysia (JAKIM) serta seorang pegawai pengiring dari Ketua Jabatan Dakwah Kolej Universiti Sultan Haji Ahmas Shah (KUIPSAS). Tujuan program tajaan ini dianjurkan adalah sebagai satu penganugerahan kepada mereka yang giat berdakwah dan memberi semangat kepada peserta agar meneruskan usaha dakwah mereka pada masa akan datang. Majlis penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang merangkap Pendaftar Muallaf Negeri Pahang dalam satu majlis perhimpunan bulanan warga MUIP dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017.Turut hadir dalam program ini, Yang Hormat Dato Yahya Bin Zainal Abidin Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS), Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussin, Setiausaha (MUIP), Pegawai Pegawai Kanan MUIP. Peruntukan tajaan Umrah kali ini sebanyak RM 44,710.00.Peserta tajaan umrah akan berlepas pada 7 april ini.Sekalung penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam meraikan program pada hari ini.Semoga Allah memberkati usaha kita semua dalam menyebarkan dakwah dan meninggikan syiar Islam di bumi Pahang khususnya.