KUALA LIPIS. 27 Februari 2018 – bersamaan 11 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Pelajar dan Kakitangan Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku. Turut bersama mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sempena majlis tersebut, baginda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang diiringi Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan berkenan mengurniakan Bantuan Pendidikan Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang kepada 720 orang pelajar di sekolah tersebut berjumlah RM72 ribu. Majlis Ugama Islam Pahang secara keseluruhannya memperuntukkan sejumlah RM961,000.00 untuk bantuan pendidikan ini diagihkan kepada 9,610 orang pelajar di 18 buah SMAN di negeri Pahang.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.