ROMPIN. 27 Jun 2023 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah mengadakan sebuah Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti bertempat di Kampung Kuala Rompin, yang terletak di dalam Mukim Rompin, Daerah Rompin.

Program secara berkala ini diadakan bertujuan untuk menjejaki golongan asnaf yang berkelayakan di kampung-kampung dan penempatan-penempatan penduduk di sekitar Daerah Rompin serta melihat bentuk-bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan bebanan hidup mereka.

Sekitar 30 buah keluarga dari kampung-kampung yang berada di bawah pentadbiran JPKK Kuala Rompin seperti Kampung Pulau Lang Kanan, Kampung Pulau Lang Kiri, Kampung Kolam, dan Kampung Tengah telah disantuni dalam program ini. Turut serta menjayakan program kali ini adalah kakitangan dari MUIP Cawangan Muadzam Shah serta urusetia-urusetia dari JPKK Kampung Kuala Rompin.

Penganjuran program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengenalpasti asnaf yang berkelayakan dari seluruh daerah Rompin seterusnya mengelakkan golongan berkenaan dari tercicir menerima bantuan zakat.