KUALA LIPIS. 22 Jun 2023 – 10 pasangan dari kalangan masyarakat mualaf asli dari daerah Lipis telah diijab qabul dalam satu majlis besar-besaran baru-baru ini.
Kesemua pasangan ini melafazkan akad nikah di hadapan wali yang dilantik iaitu seramai empat orang wali yang diketuai Al-Fadhil Qadhi daerah Lipis,Ustaz Zainuddin dan turut disertai Timbalan Qadhi.
Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) cawangan Lipis dan dibantu oleh Pejabat Agama Islam Lipis, PEPIMA, Penggerak Masyarakat Orang Asli dan NGO.
Majlis dimulakan dengan upacara lafaz akad nikah, seterusnya ucapan aluan oleh Pengurus MUIP Lipis dan Qadhi daerah Lipis, prsembahan silat, kemudian persandingan beramai-ramai,sesi bergambar dan penyampaian hadiah.
Bersambung pula dengan majlis santapan sambil dimeriahkan dengan persembahan nasyid dari dua buah kumpulan yang terdiri daripada masyarakat orang asli.
Semoga majlis meraikan para pengantin ini mendapat keberkatan dan memberikan kenangan manis kepada mereka.