ROMPIN. 27 September 2022 – Hasrat untuk memeluk Islam yang sudah lama tersimpan dalam hati seorang warga emas berbangsa Cina yang menetap di Kampung Teluk Gading akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau mengambil keputusan untuk melafazkan Dua Kalimah Syahadah usai berakhirnya Forum Khairul Ummah yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, KampungTeluk Gading.

Beliau telah dibimbing untuk melafazkan Dua Kalimah Syahadah serta diberikan penerangan berkenaan dengan agama Islam oleh Pengarah Bahagian Agihan Zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Ustaz Muhammad Hafidz Bin Abdul Halim disaksikan oleh para jemaah yang hadir.

Saudara baharu ini seterusnya akan diberi bimbingan oleh Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin yang dilantik khusus bagi mengelolakan kelas bimbingan agama buat golongan saudara baharu di kawasan berkenaan, serta diletakkan dibawah pengawasan bersama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin.

Semoga Allah S.W.T memberikan Taufiq dan Hidayah-Nya kepada saudara baharu ini untuk terus memahami, mendalami dan menghayati serta kekal berpegang teguh dengan ajaran dan nilai-nilai Islam sehingga ke akhir hayat beliau.