Hasiah Binti Deraman

Berstatus ibu tunggal bukanlah penghalang kepada Puan Hasiah binti Deraman untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Segala tohmahan dan kritikan telah dijadikan sebagai pendorong dan cabaran hidup khususnya dalam membesarkan anak-anak dengan titik peluh sendiri.

Beliau memulakan perniagaan sate dengan serius sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga setelah kematian suaminya. Segala tanggungjawab menyara keluarga dipikul dengan tabah walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Beliau mendapat sokongan moral yang sangat positif daripada keluarga  di saat-saat kesusahan dan kesulitan dan ianya menjadi pendorong semangat untuk beliau gigih berniaga bagi menyara hidup.

Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh beliau untuk menjadi seorang usahawan sate yang berjaya. Menceritakan kisah pahit manisnya, beliau hampir berputus asa apabila barangan dan peralatan untuk menghasilkan sate pernah ditenggelami banjir pada tahun 2014. Namun di atas sokongan dan semangat daripada keluarga dan rakan-rakan serta bantuan daripada pelbagai agensi telah memberikan peluang untuk beliau meneruskan usaha sebagai usahawan sate sehingga terkenal di daerah Temerloh dan di beberapa negeri di Malaysia.

Di atas kesusahan dan kegigihan Puan Hasiah, maka Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang turut memberikan bantuan berjumlah RM3,000.00 dalam bentuk barangan keperluan modal dan peralatan bagi membantu memudah dan meningkatkan perniagaan sate. Disamping itu, Majlis turut mempromosikan produk satenya melalui penyertaan dalam program Karnival Usahawan Asnaf Negeri Pahang dan memberikan ruang beliau membekalkan sate dalam program yang dianjurkan oleh Majlis.

Perniagaan beliau semakin berkembang maju dan mendapat permintaan yang tinggi sehingga beliau terpaksa menolak tempahan ekoran dari kekurangan kakitangan dan peralatan. Beliau berhasrat untuk mempunyai bengkel memproses satenya sendiri dan mempunyai pekerja yang cukup serta peralatan yang lengkap seperti mesin pencucuk sate satu masa nanti.

Menjadi harapan beliau agar semua usahawan asnaf terus bangun walaupun jatuh berkali-kali dalam perniagaan kerana sekali gagal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Menurutnya, semua cabaran dan dugaan itulah kekuatan semangat untuk memperoleh kejayaan dalam hidup. Beliau bersyukur ke hadrat Ilahi atas rezeki kejayaan dalam perniagaan sate sehingga berjaya memperolehi pendapatan sehingga RM4,000.00 sebulan. Beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua agensi yang telah membantu beliau terutamanya pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sehingga menjadi seorang usahawan sate yang berjaya.

Kursus Yang Diikuti

Kursus Keusahawanan Asnaf Siri I & II (2018)

Bantuan Yang Diterima

Burner Kwali Range
Rice Cooker Electric
Steampot
Judge Pot
Kuali & Periuk Aluminium

TELEFON

013-9011003

ALAMAT PREMIS PERNIAGAAN

SATAY WARISAN CHE JAH, 8/1 JALAN BAHAGIA MAKMUR, 28000 TEMERLOH