Mohd Azril Bin Md Ali

Bermula daripada usaha yang dianggap sebagai mencuba nasib, Encik Mohd Azril bin Md Ali seorang pengusaha pes char kuey tiaw dan juga peniaga masakan char kuey tiaw di daerah Maran telah berjaya menjadi pengeluar pes char kuey tiaw yang terkenal bukan sahaja di Maran malah telah mendapat sambutan di serata negeri Pahang.

Buat julung kalinya, beliau mencuba nasib di MAHA 2018 dan tanpa diduga pes char kuey tiawnya telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung. Sebelum itu, beliau turut mempromosi dan menjual produk tersebut di Karnival Usahawan Asnaf Negeri Pahang 2018 di Kuantan anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang turut mendapat permintaan dan tempahan daripada orang ramai yang berkunjung.

Beliau memulakan usaha menghasilkan produk pes char kuey tiaw selepas daripada mengikuti kursus Pes dan Perencah anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dengan kerjasama MARDI. Di atas sambutan dan permintaan yang tinggi terhadap pes keluarannya, Encik Azril berhasrat memperluaskan pasaran produknya bukan sahaja di negeri Pahang tetapi sehingga ke seluruh Malaysia.

Hasil daripada sambutan yang menggalakkan terhadap pes dan jualan char kuey tiaw, beliau bersyukur kerana pendapatan untuk menyara keluarganya telah meningkat daripada RM1,000.00 ke RM3,000.00 sebulan. Disamping itu, beliau mempunyai azam dan bercita-cita untuk membuka sebuah bengkel pes sendiri bagi meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

Berterima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kerana telah banyak membantu membimbing beliau menjadi seorang Usahawan Asnaf yang berjaya, beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadi seorang pembayar zakat pada suatu masa nanti. Akhirnya, beliau berharap agar asnaf yang mendapat bantuan MUIP turut berusaha untuk berjaya sepertinya dan tidak sesekali mengenali erti putus asa.

KURSUS YANG DISERTAI

Kursus Masakan Panas – 2016, Kursus Pes Dan Perencah – 2017, Kursus Keusahawanan Asnaf – 2018

PRODUK

PES CHAR KUEY TIAW

ALAMAT PREMIS

KEDAI MAKAN CHAR KUEY TIAW NO 7, No. 7, GERAI MEDAN SELERA, TASIK MAJLIS DAERAH MARAN.

TELEFON

010-9185980