PEKAN. 16 Mei 2018 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan bersama Pejabat Agama Islam Daerah Pekan (PAID), Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Pekan (PMOA) dan Guru Briged Dakwah Daerah Pekan meneruskan program Imam Hafiz bersama Masyarakat Orang Asli Islam sepanjang Bulan Ramadhan kali ini. Lima buah surau perkampungan orang asli telah dipilih iaitu Surau KOA RPS Runchang, KOA Dusun, KOA Gumum, KOA Menchupu dan KOA Permatang Keledang. Setiap surau ditempatkan seramai dua orang Imam Hafiz dari Ma’had Tahfiz Asyraful Madaris, Kuantan yang akan mengimamkan Solat Sunat Tarawih dan juga solat-solat fardhu serta menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah sepanjang Bulan Ramadhan. Usaha ini dilihat menjadi salah satu daripada tarikan kepada yang belum menganut Islam untuk mendekati Islam dan juga memantapkan aqidah masyarakat yang telah menganut Agama Islam.