MUADZAM SHAH. 11 Mac 2024 – MUADZAM SHAH, 11 Mac 2024 – Pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah hadir ke lokasi rumah terbakar di Desa Kenanga bagi menyampaikan wang zakat kepada keluarga Puan Aslinda bersama suami dan lima orang anak yang dilanda musibah kehilangan harta benda sekelip mata apabila tempat tinggal mereka terlibat dalam kejadian kebakaran.

Meskipun diuji dengan dugaan ini, namun mereka dilihat sabar, tabah dan redha dengan ketentuan sebegini. Mereka sangat bersyukur kerana dalam kejadian kebakaran tersebut, anak-anaknya sempat menyelamatkan diri masing-masing. Beliau memaklumkan bahawa tidak sempat menyelamatkan barang berharga dan pakaian sekolah anak-anak kerana api sangat marak dan cepat merebak.

Pihak MUIP menyampaikan zakat berjumlah RM5,000.00 yang telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan Daerah, MUIP Cawangan Muadzam Shah. Semoga mereka sekeluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian musibah kehilangan tempat tinggal, lebih-lebih lagi ketika bermula alam persekolahan dan awal Ramadhan.