ROMPIN. 13 Disember 2023 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah menyantuni seorang pesakit terlantar di kediamannya di Taman Ixora, Kuala Rompin.

Pesakit berkenaan, Mohd Razi @ Mohd Rozi Bin Bakar, 57, mula terlantar sejak dua bulan lalu akibat serangan strok disamping turut menghidap beberapa penyakit kronik yang lain seperti Kencing Manis dan Darah Tinggi.

Beliau kini tidak lagi mampu bekerja, serta memerlukan barang-barang bagi kegunaan harian seperti susu khas, lampin pakai buang, glukometer, serta lain-lain keperluan perubatan disamping turut perlu membayar sewa rumah.

Beliau juga turut menanggung seorang isteri yang tidak bekerja kerana menguruskan beliau dan keluarga secara sepenuh masa serta 3 orang anak yang masih bersekolah.

Prihatin dengan ujian yang menimpa Encik Mohd Razi dan keluarga, pihak MUIP telah meluluskan bantuan bulanan kepada beliau bagi membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang dihadapi mereka sekeluarga.

Semoga Allah S.W.T memberikan kesembuhan, dan ketabahan kepada Encik Mohd Razi sekeluarga serta menggantikan ujian yang menimpa mereka dengan nikmat yang lebih baik.