JERANTUT. 30 April 2019 – Bersamaan 24 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli berangkat pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Tiang, di sini, hari ini.

Kampung orang asli Sungai Tiang merupakan salah satu kampung yang didiami oleh suku kaum Semaq Beri. Penduduk kampung ini berjumlah kira-kira 224 orang yang terdiri daripada 17 keluarga Islam dan seramai 63 orang ahli isi rumah. Menurut Zaidi, salah seorang penduduk disitu beliau berasa sangat gembira dan bertuah kerana kampungnya dikunjungi oleh Tengku Mahkota Pahang dan juga merupakan Pemangku Raja Pahang. Menurut beliau lagi Tuanku seorang yang mesra dan berjiwa rakyat seperti ayahanda baginda.

Dalam rangka lawatan baginda ke daerah Jerantut, baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada seramai 60 orang Asli iaitu sumbangan peribadi keluarga Diraja Pahang menerusi Yayasan Istana Abdulaziz dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).MUIP turut memberikan sumbangan hamper berupa barangan keperluan sempena menyambut ramadhan.

Dalam titah Baginda, masyarakat orang Asli tidak seharusnya dipinggirkan dalam arus pembangunan di negara ini. “Alhamdulillah, saya dimaklumkan masyarakat orang Asli di sini tidak ketinggalan daripada menikmati pelbagai kemudahan dan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.Tengku Hassanal bertitah, mengingatkan kerajaan negeri Pahang dan agensi berkaitan orang Asli agar sentiasa prihatin terhadap hal ehwal orang asli dan menyediakan keperluan mereka secara berterusan.“Kerajaan negeri Pahang melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan mereka khusus kepada yang memeluk Islam. “MUIP telah menyediakan peruntukan dan sumbangan bagi membantu dalam meringankan beban golongan yang memerlukan dan layak menerima bantuan,” katanya.

Turut hadir, Waki Rasmi Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri bin Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz bin Haji Mat Kiram dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd Rahim Muda dan Ahli Parlimen Jerantut, YB. Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris. YB Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin Adun Tahan, Pegawai daerah Jerantut.

Selain itu, turut hadir memuliakan keberangkat Pemangku Raja Pahang itu ialah Kerabat-kerabat bergelar, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Ketua-ketua Jabatan daerah Jerantut.