PEKAN. 24 April 2019 bersamaan 18 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1440 hijriyyah bersamaan 2019 adalah RM7.00.

Pengumuman kadar berkenaan diumumkan oleh Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan yang juga selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dalam sidang media yang berlangsung petang tadi di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah.

Pihak Majlis telah mentauliahkan seramai 954 orang Amil Zakat Fitrah bagi melancarkan urusan kutipan fitrah. Justeru itu, umat Islam di negeri ini dinasihatkan membayarnya hanya kepada amil yang ditauliahkan. Keengganan mana-mana pihak melaksanakan zakat fitrah adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013. Manakala sesiapa yang didapati memungut fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh pihak Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013. Pihak Majlis juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian sebagai pilihan kepada umat Islam.

Hadir sama, Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Yang Hormat Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud serta Pegawai-pegawai Majlis.

Dalam sidang media tersebut, YDH Dato’ Sri turut memaklumkan bagi tujuan pengimarahan masjid di bulan Ramadan diperuntukkan sebanyak RM3,345,000.00 kepada 641 buah masjid di negeri ini. Manakala sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, pihak Majlis memperuntukkan sejumlah RM6,574,400.00 bagi Bantuan Menyambut Hari Raya kepada 21,703 orang asnaf fakir miskin (RM4,532,400.00) dan 11,730 asnaf muallaf (RM2,042,000.00).