ROMPIN. 14 Mac 2019 – MUIP Cawangan Rompin telah menganjurkan sebuah Program Kursus Profesionalisme Jawatankuasa Masjid Kariah Daerah Rompin, bertempat di Dewan Pendidikan Islam, Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin pada 14 Mac 2019M bersamaan dengan 7 Rejab 1440H. Program ini telah dihadiri oleh kira-kira 40 orang ahli Jawatankuasa Masjid Kariah terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha, dan Bendahari dari seluruh daerah Rompin termasuk dari Pulau Tioman. Antara pengisian dalam Program ini adalah Penerangan berhubung dengan Fungsi dan Bidang Tugas Jawatankuasa Masjid yang telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Rompin iaitu Ustaz Muhammad Nabil Bin Mohamad Fauzi, serta penerangan tentang Peranan Masjid Dalam Membentuk Biah Solehah yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Nik Ibrahim Bin Nik Abdullah, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Program ini turut mendapat kerjasama dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin serta pihak Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin. Penganjuran Program seumpama ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu ke arah memantapkan pengurusan, pentadbiran, serta pengimarahan Masjid-masjid di Daerah Rompin khususnya dan di Negeri Pahang amnya.