ROMPIN. 28 Februari 2019 – MUIP Cawangan Daerah Rompin telah menganjurkan Program Sembelihan, Ramah Mesra, dan Pemantapan Aqidah bertempat di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Mok, Rompin. Dalam Program ini, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mok telah diberi penerangan berhubung dengan Kaedah Sembelihan menurut Islam oleh Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Cawangan Rompin, agar mereka mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung dengan perkara berkenaan. Setelah itu, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mok yang kebanyakannya tidak beragama Islam diberi peluang untuk mempraktikkan sendiri kaedah sembelihan mengikut cara Islam dengan menyembelih ayam hidup yang disediakan oleh pihak MUIP Cawangan Rompin,sambil dipantau oleh urusetia yang bertugas. Penganjuran Program ini turut diserikan lagi dengan pemberian dua ekor lembu oleh Ladang Yayasan Pahang Endau untuk program berkenaan, di mana hasil sembelihan dari kedua-dua ekor lembu tersebut telah diagihkan kepada kira-kira 220 buah keluarga penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mok agar mereka dapat merasai sendiri hasil sembelihan menurut kaedah Islam. Program diteruskan lagi dengan sukaneka kanak-kanak di sebelah petang, dan berakhir pada waktu malam dengan sesi Pemantapan Aqidah bersama penduduk Orang Asli yang beragama Islam di Kampung Orang Asli Sungai Mok. Program ini turut mendapat kerjasama dari Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Kolej Komuniti Rompin, kakitangan Pejabat Felda Selendang 1, serta jemaah Masjid Kariah Felda Selendang 1. Penganjuran Program ini merupakan satu inisiatif MUIP Rompin bagi memperkenalkan Islam serta ajarannya kepada masyarakat Orang Asli di Daerah ini. Semoga Allah S.W.T memberikan Hidayah-Nya kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang amnya, dan di daerah ini khususnya.