TEMERLOH. 27 November 2018 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan telah mengadakan Program Kembara Dakwah bagi Tahun 2018 pada 27 November sehingga 29 November 2018 Peringkat Zon Barat. Antara MUIP Daerah yang terlibat ialah MUIP Cawangan Daerah Jengka, Temerloh, Bera dan Jerantut. Kembara Dakwah yang berjalan selama 3 hari 2 malam ini bertujuan untuk mendekati dan beramah mesra serta berdakwah kepada masyarakat orang asli di setiap perkampungan bagi setiap daerah yang di lawati. Kembara ini bermula di Daerah Jengka yang melibatkan 1 kampung orang asli iaitu KOA Bangkong dengan menjalankan aktiviti ziarah rumah kerumah, mengecat surau serta membersihkan balairaya. Seterusnya kembara bergerak ke Daerah Bera dengan menziarahi masyarakat orang asli di kampung Penchorong dan bermalam di kampung Jelawat serta mengadakan aktiviti tayangan video dan BBQ bersama masyarakat kampung. Pada hari ke 2 kembara diteruskan dengan aktiviti gotong royong di surau dan balairaya KOA Jelawat Bera dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Pada jam 2.00 petang, kembara diteruskan lagi ke destinasi seterusnya ke Daerah Temerloh dan masuk ke perkampungan orang asli Bukit Ngeri di Lanchang. Aktiviti sepetang bersama masyarakat kampung Bukit Ngeri iaitu dengan mengadakan ramah mesra, sukaneka dan cabutan bertuah. Setelah selesai di Temerloh, kembara meneruskan perjalanan ke kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling Jerantut dan bermalam di Homestay yang disediakan disana. Keesokan harinya iaitu hari ke 3, Team kembara meneruskan perjalanan ke kampung Orang Asli Sungai Kucing dengan menaiki bot perahu dan mengambil masa 30 minit untuk sampai ke destinasi. Di kampung orang asli Sungai Kucing, aktiviti ziarah dan ramah mesra masyarakat kampung diteruskan dengan mengagihkan hamper kepada setiap keluarga dan membersihkan kawasan persekitaran kampung. Kembara Dakwah berakhir pada jam 12.00 tengahari dan Peserta Kembara Pulang ke Daerah masing masing. Terima kasih kepada semua Team Peserta yang menjayakan Program Kembara Dakwah bagi tahun 2018 ini. Semoga usaha dan tenaga yang diberikan mendapat pahala yang besar di sisi Allah s.w.t.