PEKAN. 15 Jun 2018 – bersamaan 1 Syawal 1439H. Penduduk Kampung Orang Asli KOA Penderas, Kuala Krau, Temerloh berasa teruja kerana surau di kampung mereka telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk mendirikan solat Jumaat pertama di hari lembaran yang lalu. Menurut salah orang penduduk kampung ini, Shahrul Wizan Sulung, menyatakan perasaan gembira di kalangan saudara muslim apabila mendirikan solat Jumaat kerana jarak yang lebih dekat dan tidak perlu masa yang panjang untuk melakukan persiapan ke masjid. Tambah beliau lagi, beliau melahirkan rasa bangga kerana surau tersebut menjadi surau pertama yang mendapat kebenaran Jumaat di kampung Orang Asli di Daerah Temerloh. KOA Penderas mempunyai penduduk seramai 985 orang yang terdiri daripada suku kaum Jahut manakala jumlah penduduk yang beragama Islam di kampung tersebut adalah seramai 170 orang. Surau KOA Penderas merupakan surau kebenaran Jumaat ke lima di Negeri Pahang. Di Pahang terdapat 4 buah surau kebenaran Jumaat dan sebuah masjid yang telah mendapat kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat. Antaranya Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands, Kampung Orang Asli Bukit Serok, Muadzam Shah, Kampung Orang Asli Pantos, Pos Lanai, Lipis, Kampung Orang Asli Sungai Jin, Sungai Lembing, Kuantan dan sebuah Masjid di Kampung Orang Asli Pasal, Bera. Solat Jumaat pertama telah dipimpin oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Temerloh, Abdul Aziz bin Abdul Karim. Turut diadakan solat Hari Raya Aidilfitri di surau tersebut pada sebelah pagi. Selain itu, surau KOA Penderas merupakan sebuah surau yang aktif dengan kelas-kelas pengajian seperti kelas fardhu ain yang dianjurkan kepada saudara baharu dan juga penduduk setempat.