ROMPIN. 06 Jun 2018 – MUIP Cawangan Rompin telah mengadakan Program Ihya’ Ramadhan serta penyampaian bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan Saudara Baharu Fakir dan Miskin di tiga buah perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Orang Asli Jemeras, Kampung Orang Asli Sembayan, Kampung Orang Asli Kemendol serta Rumah Waqaf MUIP yang terletak di Taman Pasdec, Rompin. Program kali ini melibatkan golongan Muallaf dari kalangan Orang Asli serta Muallaf dari golongan lain seperti Cina, Kadazan, Iban , India dan sebagainya dari seluruh Daerah Rompin. Antara pengisian dalam program-program ini adalah Tazkirah Ramadhan santai kepada golongan Saudara Baharu, Penyampaian Bantuan Tahunan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan fakir dan miskin di kalangan mereka, berbuka puasa , serta Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama-sama dengan mereka. Sebanyak RM 38100 bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri telah diserahkan kepada kira-kira 91 buah keluarga dan individu fakir miskin di kalangan Saudara Baharu Orang Asli dan Selain Orang Asli dari seluruh daerah Rompin. Program ini turut diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan berupa hamper barangan makanan keperluan harian oleh PERKIM Daerah Rompin serta Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin kepada golongan berkenaan.