BENTONG. 6 Mei 2018 bersamaan 21 Ramadan 1439H – Kebawah Duli Yang Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa simpati dengan musibah yang melanda rakyat terutamanya ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut hari raya. KDYMM Tuanku yang berada di Johor Baharu bagi menghadiri pemakaman Almarhumah bonda mertua mengampuni titah perkenaan mengurniakan sumbangan segera dihulurkan kepada mangsa-mangsa ribut Felda Sertik Mukim Sabai.

Baginda menitahkan kurniaan sumbangan tersebut menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan kurniaan peribadi menerusi tabung kebajikan yayasan baginda, Yayasan Istana Abdulaziz (YIA). Sebuah rumah yang mengalami kerosakan teruk menerima RM4,000, tiga buah masing-masing menerima RM1,000 dan 26 mangsa lagi kurniaan sebanyak RM600. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi Hussain bersama Yang Hormat Pengurus Besar YIA, Dato’ Haji Abdul Munir Abd Basit.

Pada kejadian semalam, kira-kira pukul 3.00 petang itu Felda Kampung Sertik dilanda hujan lebat dan ribut. Sejurus kejadian, pihak berkuasa PDRM tiba untuk memantau kejadian dan sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Bangunan GPW Felda Kg Sertik di bawah penyelarasan JKM dan Pengurus Felda Sertik.