KUANTAN. 23 Mac 2018 – Empat badan korporat menyerahkan zakat perniagaan keseluruhannya berjumlah RM3,859,758.92. Majlis penyerahan yang berlangsung di Istana Abdulaziz disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. KDYMM Tuanku selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menerima serahan zakat daripada wakil-wakil badan korporat iaitu Lembaga Tabung Haji berjumlah RM3,200,185.01 diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Badlisyah Abd Ghani, RM371,826.66 dari Bank Islam Malaysia Berhad oleh Pengerusinya, YBhg. Datuk Zamani Abdul Ghani, UMP Holdings Sdn Bhd menyerahkan RM187,747.25 menerusi Pengarah Syarikat, YH Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Ferdaus Toh Abdullah yang mewakili Affin Islamic Bank Berhad menyerahkan RM100,000.00.

KDYMM Tuanku diiringi YH Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain dan YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), Dato’ Haji Halidan Md Daud.

Pada tahun lepas, PKZ berjaya mencapai sasaran kutipan zakat harta berjumlah RM126.6 juta melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Ugama Islam Pahang iaitu RM120 juta. Justeru, pada tahun ini mensasarkan kutipan zakat berjumlah RM130 juta daripada 85 ribu pembayar. Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, pihak PKZ mengenal pasti 5 fokus utama yang perlu dilaksanakan iaitu Z-Barakah (pendapatan), Z-Tijari (Perniagaan), Z-Step (simpanan, ternakan dan pertanian), Z-ProDak (promosi dan dakwah) serta Z-Smart (aplikasi ICT). Pihak Majlis Ugama Islam Pahang juga akan melaksanakan kewajipan membayar zakat melalui potongan gaji kepada semua kakitangan awam dan swasta. Mana-mana pihak yang enggan membayar zakat boleh didakwa di bawah Seksyen 24 & 40 Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Sokongan daripada badan-badan korporat juga masyarakat Islam bagi melaksanakan kewajipan membayar zakat kepada Majlis Ugama Islam Pahang selaku institusi yang bertanggungjawab menguruskan zakat di negeri ini membantu peningkatan jumlah kutipan zakat pada setiap tahun. Peningkatan jumlah kutipan ini akan dinikmati oleh asnaf-asnaf di mana Majlis Ugama Islam Pahang dapat menyediakan lebih banyak lagi bantuan-bantuan untuk diagihkan bagi memperkasakan para asnaf di negeri ini.