PEKAN. 5 Mac 2018 bersamaan 17 Jamadilakhir 1439H – “Majlis Ugama Islam Pahang akan membiayai bayaran khidmat bantuan guaman bagi tuntutan nafkah asnaf zakat (fakir miskin) daripada kalangan wanita yang masih bergelar isteri tetapi ditinggalkan tanpa nafkah juga isteri-isteri yang tidak diberikan nafkah dalam perkahwinan sehingga kedua-dua golongan ini terpaksa memohon bantuan zakat daripada Majlis bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak. Khidmat bantuan ini juga merangkumi tuntutan nafkah bagi anak-anak wanita kedua-dua golongan ini”, ucapan daripada YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan semasa sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Khidmat Bantuan Guaman Tuntutan Nafkah Asnaf Zakat (Fakir Miskin) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang diadakan bertempat di Dewan Syarahan, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah.

Hadir sama dalam sidang akhbar, YH Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos dan YBhg. Pengerusi Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang, Tuan Haji Mohamed Sazali bin Abdul Aziz.

Menerusi khidmat yang diberikan ini, pihak Majlis Ugama Islam Pahang menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang yang akan bersama-sama menyumbang tenaga dan kepakaran dalam khidmat guaman syarie bagi membantu asnaf-asnaf ini mendapatkan kembali hak mereka di Mahkamah Syariah Negeri Pahang.

“Idea untuk mengadakan bantuan khidmat guaman ini terhasil berikutan penelitian terhadap lambakan permohonan bantuan zakat yang diterima oleh Majlis Ugama Islam Pahang terdiri daripada golongan tersebut. Mereka yang memerlukan khidmat tersebut boleh menyatakan dalam borang Bantuan Zakat Majlis yang dipohon di ruangan yang disediakan. Kebanyakan daripada mereka adalah wanita yang mempunyai anak di bawah umur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap atau tidak bekerja.

“Justeru, Majlis mengharapkan khidmat bantuan guaman ini dapat membantu mengembalikan hak isteri dan anak-anak seterusnya dapat mendidik masyarakat khususnya para suami dan bapa supaya lebih bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai keperluan isteri serta anak-anak.