ROMPIN. 20 Februari 2018 bersamaan 4 Jamadilakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bercemar duli berangkat ke Program Membaiki Rumah Rakyat Miskin di Kampung Leban Chondong. Baginda diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang turut berkesempatan melakukan kerja-kerja mengecat dinding rumah. Baginda menyantuni penduduk kampung yang terlantar dan mengurniakan sumbangan berjumlah RM2,200.00 kepada 8 asnaf. Majlis Ugama Islam Pahang turut menyumbangkan 3 buah kerusi roda kepada asnaf yang memerlukan. Bersempena program membaiki rumah ini, Majlis telah menyumbangkan peralatan membaiki rumah berjumlah RM7,000.00.

Seterusnya baginda berangkat ke Program Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dataran Pantai Rantau Panjang. Seramai 40 orang asnaf menerima sumbangan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM8,000.00 manakala 70 kanak-kanak turut menerima kurniaan wang tunai.