PEKAN. 12 Februari 2018 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Pekan, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Pekan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Pekan dan Guru Briged Dakwah Daerah Pekan telah mengadakan Program Ziarah Dakwah, Walimatul Urus dan Pemantapan Akidah di Kampung Orang Asli Meranti, Pekan. Program ini diadakan selama dua hari satu malam bermula pada 12hb Februari, 2018 dengan acara ziarah dakwah rumah ke rumah, sukaneka, malam kebudayaan dan santai dakwah. Seterusnya pada 13hb Februari,2018 diteruskan lagi dengan acara pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Acara kemuncak ialah majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Aman Bin Saifuddin selaku Pegawai Tadbir Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mewakili YDH. Dato’ Sri Timbalan Yang DiPertua dan seterusnya menyaksikan majlis walimatul urus melibatkan seramai lapan pasangan muallaf asli yang telah diakadkan sendiri oleh Al-Fadhil Tuan Qadhi Daerah Pekan. Program selama dua hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga penduduk Kampung Orang Asli Meranti, Pekan dan berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu memperlihatkan keindahan Islam melalui cara kehidupan yang berteraskan syariat.