PEKAN. 13 Januari 2018 – Tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 65 keluarga sekitar daerah Pekan menerima kurniaan bantuan wang tunai daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM13,000.00. Majlis pengurniaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang sempena keberangkatan baginda melawat mangsa-mangsa banjir.

Baginda bercemar duli di PPS SMK Peramu Jaya, SK Seri Terentang dan SK Seri Biram dengan diiringi oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis serta YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Setiausaha Majlis.