PEKAN. 13 Januari 2018 – Nasib lima sekeluarga serta beberapa pekerja Restoran Rasa Mesra yang hilang tempat tinggal selepas rumah dua pintu sewaan mereka hangus dijilat api, awal pagi tadi mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang.

Baginda berkenan bercemar duli bertemu semua mangsa terlibat serta menyampaikan kurniaan peribadi dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain meluangkan masa kira-kira 30 minit bertanyakan keadaan mangsa.

Tuanku turut menzahirkan rasa sedih serta simpati dengan kejadian yang menimpa semua mangsa dan berharap mereka bersabar dengan ujian dari Allah SWT.

Hadir sama, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Haji Hassan, Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Sri Rosli Abdul Rahman dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, YH Dato’ Abdul Wahab bin Mat Yassin, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Ali bin Sabana dan Yang DiPertua Majlis Daerah Pekan.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi di Kampung Mengkasar itu,Murani Che Lah bersama tiga anaknya yang berusia dua hingga sembilan tahun yang berada di rumah sempat menyelamatkan diri dengan bantuan jiran.

Suaminya, Fizli Saadon yang bekerja sebagai posmen di Kuantan tiada di rumah manakala jiran penyewa juga sedang bekerja di restoran berkenaan yang terletak bersebelahan rumah.

Hasil maklumat yang diterima, kejadian disedari berlaku oleh mangsa yang terhidu bau seperti plastik terbakar. Beliau cuba mencari punca bau tersebut di dalam rumahnya sebelum ternampak asap serta api dari rumah sebelah.

Beliau keluar untuk mengejutkan jiran sebelah rumah tetapi dapati rumah tersebut kosong sebelum jiran lain datang membantu menyelamatkan tiga orang anaknya yang sedang tidur. Dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak ke rumah berhampiran. Keseluruhan rumah serta peralatan di dalamnya hangus terbakar termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira milik penyewa.

Maklumat awal pihak bomba mengatakan punca kebakaran berkemungkinan akibat litar pintas, namun kes masih di dalam siasatan.