MUADZAM SHAH. 15 Mac 2023 – MUADZAM SHAH, 15 MAC 2023 – Satu Forum Khairul Ummah Khas telah diadakan bersempena bulan zakat dan wakaf Peringkat Negeri Pahang bagi Zon Timur.
Forum yang berlangsung di Masjid Felda Selancar 3 ini menampilkan 3 orang panel dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah dan juga Pegawai Dakwah/Pemasaran Wakaf Pahang iaitu Ustaz Haji Mohd Azmi, Ustaz Mohd Hafis, dan Ustaz Fariduddin. Manakala Moderator bagi forum ini adalah Ustaz Mohd Nadhir Syafiq dari PKZ.
Tema forum pada kali ini adalah zakat satu kewajipan, wakaf pahala berkekalan. Data statistik kutipan dan agihan zakat serta wakaf dibentangkan dalam forum ini supaya masyarakat faham dan melaksanakan kewajipan berzakat dan berwakaf untuk bekalan di akhirat.
Selain itu, ketiga-tiga panel ini juga menerangkan secara terperinci kategori zakat yang wajib ditunaikan kewajipannya setelah cukup syarat-syarat yang mewajibkannya. Kaedah permohonan zakat turut dijelaskan beserta pelbagai skim yang disediakan bagi tujuan tersebut. Berkaitan wakaf pula, panel membentangkan contoh-contoh pewakaf dikalangan sahabat Nabi yang wakafnya itu berkekalan sehingga ke hari ini.
Sesungguhnya forum ini banyak membantu masyarakat terutamanya dalam perkara berkaitan zakat dan wakaf. Semoga semua umat Islam segera menunaikan zakat harta dan zakat fitrah yang telah diwajibkan ke atas kita semua agar harta kita didunia ini tidak menjadi bebanan di akhirat kelak.