MUADZAM SHAH. 16 Mac 2023 – MUADZAM SHAH, 16 MAC 2023 – Alhamdulillah, Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti (CAKNA) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang berlangsung di sekitar Felda Selancar 3 pada hari ini selesai dengan jayanya.
Pihak MUIP Cawangan Muadzam Shah beserta pihak Masjid Al-Ansar dan pihak Pejabat Felda Selancar 3 telah menyantuni 21 buah rumah asnaf dalam program ini. Kesemua rumah yang diziarahi diberikan set barangan makanan asasi sebagai bantuan awal.
Pelbagai kategori permohonan telah dikenalpasti oleh pihak MUIP, antaranya adalah permohonan peralatan berniaga, permohonan rawatan kesihatan dan sebagainya. Setiap permohonan akan diambil perhatian dan akan diberikan agihan zakat yang sewajarnya.
Ketika program Cakna Asnaf ini berjalan, dalam masa yang sama juga turut berlangsung program ziarah peniaga dan taksiran zakat yang dijalankan oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang di sekitar Felda Selancar 3 ini bersempena bulan zakat dan wakaf peringkat Negeri Pahang. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu penyelarasan sepanjang program ini.